Isnin, 6 Februari 2012

Al-Razi (240-320H[1])

Nama sebenar beliau ialah Muhammad Ibn Zakariya al-Razi, seorang tokoh genius yang berasal dari Rayy, Parsi di peringkat awal mempelajari muzik dan kemudian memberi fokus kepada sains tabii iaitu mengkhusus dalam bidang kimia dan perubatan. Beliau berhijrah ke Baghdad ketika umur beliau berumur 30 tahun. Di Barat atau dalam bahasa Latin beliau dikenali sebagai Rhazes. Di peringkat kecil, beliau belajar al-Quran serta dikatakan menguasai ilmu tradisi Greek seperti Falsafah, Matematik, dan Logik. Di atas kebolehan beliau, Khalifah al-Mu’tadid ( 279-280H ) melantik beliau menjadi Pengarah Hospital di Baghdad. Beliau mengajar, mentadbir dan menjalankan wksperimen di makmal dan dikatakan sentiasa merekod dan memerhatikan perkembangan para pesakitnya. Antara gurunya dalam bidang perubatan ialah Ali Ibn Rabban al-Tabari. Terdapat beberapa institut kini dinamakan semperna namanya seperti Institut a-Razi di Tehran dan Universiti Razi di Kemanshah juga di Iran.

Sumbangan beliau.

Al-Razi adalah tokoh utama dalam bidang perubatan yang menemui pelbagai punca penyakit seperti alergi kepada penyakit asma dan juga imunisasi. Sumbangan a-Razi kepada dunia termasuk memperkenalkan diagnosis terhadap penyakit cacar dan campak dan sumbangan ini dicatat dalam Encylopedia Britanica bagaimana deskripsi yang lengkap telah dikemukakan oleh beliau.

Sepanjang hidupnya al-Razi, dikatakan menghasilkan 224 buah kitab, 140 darinya adalah bidang Perubatan. Kitab yang termahsyur ialah Kitab “al-Hawi fi al-Tibb”. Buku ini berjumlah 9 jilid menjadi rujukan utama di perpustakaan Fakulti Perubatan Paris pada tahun 1395 Masihi. Beliau juga adalah orang yang pertama yang memperkenalkan ilmu farmasi secara teratur. Antara penulisan lain ialah Kitab al-Asrar ( Kitab Rahsia ) dan Kitab Sir al-Asrar ( Kitab rahsia kepada Rahsia ) yang menyentuh tentang Kimia dan pengelasan benda-benda logam, tumbuhan dan juga haiwan. Antara sumbangan besar beliau boleh diringkaskan seperti di bawah:

· Buat pertama kali mencatatkan tentang demam cacar dan campak ( smallpox dan measles ).

· Penggunaan ubat untuk melawaskan air besar secara lembut ( mild purgatives )

· Bekam bagi kes-kes apoplexy ( kehilangan kegunaan deria ) disebabkan kepecahan urat darah di dalam otak.

· Mencipta seton ( jenis benang ) dan penggunaannya dalam kes-kes luka.

· Menghasilkan alat untuk mengukur berat timbangan cecair.

· Menulis buku teks mengenai anatomi, yang kemudiannya di terjemahkan ke bahasa-bahasa Eropah dan digunakan di universiti-universiti di sana sehingga abad ke 17M.

· Orang yang pertama yang berfikir mengenai First Aid.

· Mencipta alat-alat untuk eksperimen beliau yang dibuat dari kaca dan logam dan merekodkan eksperimen dalam bukunya Sirr al-Asrar ( Rahsia Segala Rahsia-Rahsia ).



[1] Menurut kitab : Profil Cendekiawan Islam, terbitan : Universiti Sains Islam Malaysia, 2011, m/s49-50.