Rabu, 12 Disember 2012

Khat Diwani [1].


           Khat Diwani ialah satu daripada bentuk khat yang lahir pada zaman kerajaan Turki Uthmaniah. Penciptaan dan pembentukkan khat ini ialah hasil kerja Ibrahim Munif pada akhir abad ke-15 Masihi dengan mengambil ilham daripada khat Ta’liq. Bentuk khat ini melalui proses perkembangannya yang tersendiri dan mencapai zaman kemuncak kegemilangannya pada abad ke-17 Masihi dengan usaha yang dilakukan oleh Shala Pasha. Khat Diwani menjadi tulisan yang popular pada zaman Kerajaan Uthmaniah, seperti yang dinikmati oleh gaya Riq’ah.

            Ciri penting khat Diwani ialah condong ke kiri dan melengkung, serta menghasilkan seakan-akan bulatan yang bersambung- sambung pada bahagian dasar hurufnya. Amat jarang tanda baris digunakan dalam khat ini.

            Khat ini juga mempunyai satu cabang lain yang dikenali sebagai Diwani Jali. Bagi cabang ini, bentuk huruf dan susunan ayatnya menjadi lebih indah dan pada masa yang sama, semakin sukar dibaca. Tanpa menggunakan kaedah tanda baca atau perhiasan yang biasa digunakan dalam khat lain, Diwani Jali dipenuhi dengan pelbagai titik hiasan dalam susunan hurufnya. Khat ini turut juga digelar sebagai Humayuni. Orang yang paling berjasa menaikkan gaya khat ini ialah Hafiz Uthman.

            Sebenarnya, apabila semakin sukar khat ini untuk dibaca, maka semakin dekat khat ini kepada tujuan asalnya dicipta. Menurut sejarah, khat ini asalnya dicipta untuk menjadi rahsia para pemerintah yang menhantar surat rasmi kepada para wakil kerajaan di merata wilayah. Sering kali berlaku rompakan dan serangan terhadap wakil kerajaan ketika dalam perjalanan, dengan itu surat tersebut dibaca dan isi kandungannya diketahui oleh musuh. Denga terciptanya gaya Diwani, maka hanya orang tertentu yang boleh membaca dan seterusnya menyampaikan mesej yang ingin disampaikan kepada orang yang berkelayakan.








[1] Abdul Rahman Hamzah, ‘Khat dan Jawi Mutiara Kesenian Islam Sejagat’, 2008, terbitan : Universiti Teknologi Malaysia