Khamis, 26 Januari 2012

Syeikh Abdullah Fahim (1879-1961 Masihi)[1].


Beliau dilahirkan berhampiran Kaabah, iaitu di Syu’ab Ali pada tahun 1879 Masihi/1296 Hijrah. Syeikh Ibrahim atau dikenali dengan Abdullah Pak Him, berdedikasi meneruskan warisan perjuangan Rasulullah s.a.w untuk membawa manusia menghargai Allah yang Maha Pencipta sebagai Rabul’alamin. Syu’ab Ali adalah tempat di mana penempatan bagi beberapa ulama Alam Melayu yang terkenal di Makkah seperti Syeikh Wan Ahmad al-Fatani ( 1856-1908 ) yang pernah bermukim di situ. Selain itu di Syu’ab Ali jugalah kemudiannya dibina Madrasah Darul Ulum al-Diniyah yang diurus-takbir oleh ulama Melayu pada tahun 1935.
“ Fahim” adalah ungkapan istilah dalam bahasa Arab yang bermaksud “seorang yang faham dan luas ilmunya”. Manakla dalam beberapa ‘taqriz’ (kata pengantar) yang ditulis Syeikh Abdullah Fahim, beliau menggunakan nama “Abdullah Pak Him”,iaitu nama yang biasanya digunakan dalam dialek harian orang-orang di utara semenanjung yang menunjukkan penghormatan kepada seseorang yang dianggap mempunyai kedudukan tinggidi dlam masyarakat lebih-lebih lagi yang dianggap lebih berilmu pengetahuan. Ayah beliau, Syeikh Ibrahim bin Haji Tahir (Pak Him), berasal dari Kubur Panjang, Kedah. Beliau berhijrah ke Makkah bagi menimba ilmu pengetahuan dan kemudiannya menjadi salah seorang tenaga pengajar di Masjidil Haram. Ibunya iaitu Hajah Khadijah dikatakan mempunyai keturunan yang berasal dari Patani dan mempunyai susur jalur keturunan yang berasal dari Maghribi.
Sumbangan beliau.
Sejurus kembali ke Seberang Prai setelah menetap lama di Makkah, Syeikh Abdullah menetap di Kepala Batas dan mengajar di rumah beliau. Oleh kerana perhubungan yang rapat dengan Haji Wan Sulaiman Wan Siddiq semasa menuntut di Makkah, Syeikh Abdullah kemudian telah dijemput untuk mengajar di Madrasah al-Hamidiah yang terletak di Limbong Kapal, Alor Setar, tidak jauh dari Pejabat Agama Islam Kedah waktu itu. Haji Wan Sulaiman selaku Syeikhul Islam Kedah ketika itu telah mengasaskan Madrasah al-Hamidiah pada tahun 1916 di mana ia ditakbir sebagai sekolah agama Islam “moden”. Beliau kemudian dijemput menjadi mudir Madrasah Idrisiah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak adalah sebuah institusi pendidikan agama yang dibangunkan pada 1916 dan beroperasi pada tahun 1922 atas hasrat Sultan Idris Mursyidul Azam Shah untuk melihat wujudnya sebuah institusi pendidikan agama yang setanding dengan beberapa institusi pendidikan yang terkenal di Perak ketika itu seperti Maktab Malayu Kuala Kangsar dan Maktab Pergurusn Sultan Idris. Beliau kemudian menjadi mufti pertama Pulau Pinangpada 1951.
Antara sumbangan beliau berkaitan Matematik Syeikh Abdullah Fahim ialah kebolehan beliau dalam ilmu falak. Bagi mengukur waktu sembahyang, penentuan arah kiblat, pembahagian harta pusaka, penentuan awal puasa dan hari raya, ilmu Matematik atau ketika itu dikenali sebagai ilmu hisab amat diperlukan. Antara alat yang digunakan ketika itu ialah rubu’ mujayyab iaitu alat yang berfungsi dan digunakan bagi menghitung kedukan matahari untuk menentukan waktu solat sepanjang tahun selain fungsi matematik logaritma yang mengetengahkan sinus (jayyib) dan tangent (zhill) yang di asaskan oleh al-Khawarizmi. Sebenarnya hanya segelintir saja yang benar-benar menguasai ilmu Falak yang diajarkan oleh Syeikh Abdulllah Fahim kepada mana-mana muridnya yang benar-benar berminat berikutan pelajaran ilmu Falak adalah satu pelajaran yang sukar dan melibatkan banyak pengiraan.
Selain itu beliau juga turut menghasilkan jadual sembahyang yang dikatakan boleh digunakan sepanjang tahun.




[1] Kitab : Profil Cendekiawan Islam, terbitan : universiti sains Islam Malaysia,2011, m/s : 22-24

Tiada ulasan:

Catat Ulasan