Sabtu, 28 Januari 2012

Tok Kenali ( 1868-1933 Masihi )[1].

Tok Kenali merupakan ulama tersohor di Kelantan. Nama sebenar beliau ialah Mohd Yusof bin Ahmad. Beliau juga merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang telah membuka minda masyarakat Melayu yang pada ketika itu berada di bawah kuasa penjajah Inggeris. Beliau dilahirkan di Kampung Kenali Kubang Kerian dalam sebuah keluarga petani yang kuat beragama. Pendidikan awal beliau bermula daripada datuknya iaitu Mohammed Saleh ( Tok Leh ). Datuknya ini merupakan guru agama yang terbilang di Kubang Kerian. Pada ketika itu beliau berumur 5 hingga 7 tahun.

Kesungguhan dan kecintaan beliau terhadap ilmu pengetahuan amat mengkagumkan dan jelas menggambarkan kecerdikannya sebagai seorang yang bakal menjadi tokoh ulung di masa akan datang. Hal ini kerana beliau dikatakan telah berusaha menghafaz al-Quran pada umur 6 tahun. Pada usianya sekitar 10 hingga 15 tahun beliau telah berulang-alik dengan berjalan kaki dari kampungnya ke Kota Bharu sejauh 8 batu semata-mata untuk menguasai ilmu nahu dan saraf daripada para ulama ternama. Di antara tokoh ulama yang membimbing beliau ialah Tuan Haji Ismail, Tuan Haji Abdul Samad, Tuan Guru Haji Ibrahim dan lain-lain.

Perjuangan menuntut ilmu beliau tidak terhenti di situ sahaja. Pada usianya 18 tahun beliau telah pergi ke Kota Suci Makkah untuk memperdalamkan lagi ilmunya dalam bidang agama. Walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan kerana kekangan kewangan, namun beliau tidak pernah berputus asa. Di sana beliau melakukan apa sahaja pekerjaan termasuklah menjadi tukang masak untuk menyara hidup dan bagi membolehkanya meneruskan pengajian. Beliau juga sanggup bersusah payah meminjam buku-buku teks daripada kawan-kawannya untuk ditelaah dan dibaca terlebih dahulu sebelum mengikuti kelas pengajian. Di Makkah beliau berguru dengan beberapa ulama yang terkemuka seperti Al-Alamah Syeikh Wan Ahmad Kamal bin Mohamad Zin bin Mustafa al-Fatani ( iaitu anak saudara al-Alamah Syeikh Daud al-Fatani ), al-Alamah Syeikh Abid Mufti al-Malikiyyah, al-Sayyid Muhammad Ami Mardad Imam al-Hanafiyyah dan lain-lain.

Selepas menamatkan pengajian beliau di Makkah selama 17 tahun, Tok Kenali telah pergi ke Mesir bersama gurunya Wan Ahmad Fatani. Di Mesir, Tok kenali dikatakan telah didedahkan dan diperkenalkan dengan ilmu percetakan. Hal ini kerana gurnya , Wan Ahmad telah diberi kepercayaan oleh pemerintah kerajaan Othmaniyyah iaitu Sulatan Abdul Hamid ii untuk mengendalikan sebuah percetakan di Makkah iaitu al-Matbaah al-Miriyyah al-Kainah. Wan Ahmad Fatani juga mempunyai percetakannya sendiri iaitu al-Maktabah al-Fataniah yang menjalankan percetakan Kitab Bahasa Arab dan Melayu.

Pendedahan kepada dunia percetakan telah memberi inspirasi kepada Tok Kenali untuk menjadikannya sebagai satu agenda transformasi pemikiran masyarakat. Tambahan pula pada masa itu masyarakat Melayu berada di bawah cengkaman kuasa penjajah. Beliau bercita-cita untuk membebaskan Tanah Melayu dan Orang Melayu daripada penindasan dan kemunduran. Justeru kesempatan berasa di Mesir telah digunakan oleh beliau untuk bertemu denga seorang tokoh reformis agung iaitu Muhammad Abduh.

Melalui pertemuannya dengan Muhammad Abduh, beliau terdorong untuk memahami dan mempelajari ilmu sosiologi politik. Selepas 5 tahun pengajiannya di Mesir dan selepas kewafatan gurunya iaitu Wan Ahmad, beliau kembali ke tanah air. Pada ketika itu beliau berumur 40 tahun. Tok Kenali dikatakan pulang dengan hanya membawa 2 buah kitab sahaja iaitu Mughni al-Labib dan al-Asmuni kerana kebanyakan ilmu dan kitab yang dipelajari telah dihafalnya.

Sekembalinya ke tanah air, beliau telah membuka sebuah pondok pengajian agama yang dikenali sebagai pondok Kenali. Pondok Kenali ini kemudiannya menjadi masyur sebagai sebuah pusat pengajian agama di semenanjung pada ketika itu. Dua tahun kemudian,beliau ditawarkan pula oleh pembesar Kelantan iaitu Nik Mahmud bin Ismail untuk mengajar di Masjid Besar al-Muhammadi, Kota Bharu yang pada masa itu menjadi pusat pengetahuan agama terbesar di Kelantan. Namun selepas 5 tahun berkhidmat, beliau kembali ke Pondok Kenali untuk menyambung khidmat dan baktinya kepada masyarakat dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab. Pada ketika itu, beliau mempunyai lebih kurang 400 orang murid yang datang dari pelbagai ceruk rantau semenanjung hingga ke Indonesia, Kemboja, Patani dan lain-lain.

Sumbangan beliau.

Tok kenali bukan sahaja dikenali sebagai seorang tokoh ulama Islam yang disegani pada masa lalu bahkan beliau juga dianggap sebagai seorang tokoh pendakwah dan reformis Islam yang berjuang untuk membela agamanya dan nasib bangsanya. Berlatar-belakangkan pendidikan dari Timur Tengah dan pemikiran politik Muhammad Abduh menjadikan beliau begitu kritikal terhadap penjajah. Kekesalannya terhadap nasib dan kejumudan pemikiran bangsanya kesan daripada penjajahan, telah mendorong beliau untuk mengambil langkah menjadikan media sebagai wasilah dakwah bagi menyedarkan masyarakat supaya bangkit menentang penjajah.

Untuk tujuan tersebut Tok Kenali telah mempelopori penerbitan majalah yang dinamakan Pengasuh. Bertindak sebagai ketua pengarang Pengasuh, memberi ruang yang lebih untuk melontarkan idea dan pemikirannya bagi menimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam. Beliau dengan lantang mengkritik dasar penjajah yang padanya telah menjadikan bangsa Melayu sebagai satu bangsa yang lemah, mundur dan malas. Pada masa yang sama, beliau juga turut mengkritik sikap sesetengah bangsa Melayu yang dilihat sebagai ‘orang yang lalai dan tidur denga hiburan jahil dan menjaga kepentingan dan kesedapan dirinya sahaja’. Namun begitu beliau tidak lupa meniupkan kata-kata semangat dan menggesa bangsa Melayu supaya bersatu padu melawan kuasa penjajah.

Beliau mengharapkan supaya setiap negeri di Tanah Melayu mempunyai sekurang-kurangnya satu surat khabar yang dimiliki oleh anak negeri sendiri. Hal ini kerana beliau melihat akhbar sebagai satu medium yang sangat berkesan dalam mengubah pemikiran masyarakat. Oleh itu beliau telah banyak melatih dan mendidik anak-anak muda tentang kaedah pengendalian bidang penulisan dan kewartawanan. Di dalam majalah Pengasuh juga beliau turut memberi suntikan dan ransangan kepada para pembaca untuk menceburkan diri dalam bidang kewartawanan. Sebagai seorang jurnalis yang berlatar-belakangkan pendidikan di Timur Tengah, Tok Kenali telah memperkenalkan gaya penulisan beliau yang unik dan tersendiri. Dalam penulisan beliau mengadaptasikan syair-syair Arab, memetik kata-kata hukama’ dan beliau juga bijak melakarkan cerita dan syair mengikut suasana supaya pembaca berasa tidak bosan.

Selain daripada menyumbang buah fikiran dalam majalah Pengasuh daripada aspek politik dan dakwah Tok Kenali juga turut menyumbang dalam bidang sastera. Beliau telah menulis semula cerita-cerita lisan termasuk ceritera Raja Muda, menyusun pelajaran tatabahasa Arab, Al-Durus al-Kenaliah al-Ibtidaiah dan juga menterjemahkan sebahagian daripada Tafsir Al-Kahzin dan Tafsir Ibnu Kathir.

Daripada aspek pendidikan, Tok Kenali juga amat berjasa dalam melahirkan angkatan ulama yang menguasai Pengajian Tinggi Islam di Tanah Melayu dan juga di negeri-negeri lain seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja. Beliau juga telah melahirkan ulama-ulama besar seperti Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi, Hj Ali Salahuddin bin Awang, Hj Abdullah Tahir, Hj Ya’kob bin Hj Ahmad, al-Syeikh Uthman Jalaluddin dan Hj Muhammad Yusof. Melalui system pengajian pondok yang diperkenalkan oleh Tok Kenali juga telah menyebarkan pengetahuan Agama Islam dan Bahasa Arab ke seluruh semenanjung. Semasa menjadi ketua Pelajaran Agama Islam Kelantan, beliau telah mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah-sekolah Agama yang menjadi bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.

Tok Kenali juga pernah menjadi Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Anggota Majlis Ulama’ Kelantan. Beliau juga turut menjadi penasihat kepada para pembesar Kelantan berhubung isu kemasyarakatan dan isu politik semasa. Sementara itu, dalam kegiatan kemasyarakatan pula beliau telah mengasaskan Persatuan Umat Islam yang dinamakan ‘Jam’iyyatul Asriyyah’ yang berfungsi sebagai platform bagi membincangkan isu-isu kemasyarakatan, politik dan agama secara ilmiah.


[1] Menurut kitab : Profil Cendekiawan Islam, terbitan :Universiti Sains Islam Malaysia,2011, m/s :34-37

Tiada ulasan:

Catat Ulasan